Kali ini aku ingin bercerita tentang Jambu Batu Bidor yang rasanya semua penduduk malaysia tahu rupa Jambu Batu.
Belum tahu kena bertanya, yang tahu kena bercerita, namanya sudah terkenal dan diminati ramai, itu lah Jambu Batu. Jambu batu di kehijauannya amat terliur untuk dijamah dan dicecah dengan asam boi (asam masin) atau kuah rojak. Boleh juga dibuat jus dan jeruk kering yang boleh kita dapati dipasaran. Sememangnya Jambu Batu yang dikenali dengan nama Jambu Batu Bidor popular di Pekan Bidor ini. Boleh kita lihat saban hari pekebun – pekebun jambu membawa hasinya ke Pekan Bidor untuk dijual. Banyak pengusaha menanamnya dikawasan tanah berpasir tinggalan bekas perlombongan sekitar kawasan Bidor.
Kalau nak tahu Jambu Batu Bidor ini terdapat 3 jenis.Yang popular adalah jambu batu yang tidak berbiji, rupanya kerepot-kerepot. Pencapaian keberatan mencecah 400gram sebiji serta berdaun hijau. Jambu batu jenis kedua adalah berpemukaan licin bujur telur tetapi terdapat biji didalamnya boleh mencecah 600gram sebiji serta berdaun hijau. Jenis ketiga adalah berbentuk bujur telur, permukaan licin kecil sedikit berbanding daripada jenis kedua didalamnya juga terdapat biji dan berdaun merah hati mencecah 200 gram. Jambu ini mempunyai perbezaan warna berwarna merah hati, malangnya ia tidak popular menyebabkan pengusaha tidak lagi berminat menanamnya.
Asalnya Jambu Batu Bidor ini mengikut makluman yang saya dapati pada peringkat awal daripada pengusaha pertama dikenali Mr Long Tun ( cina mualaf ) dan Dr.Ah Ping. Jambu Batu ini berasal daripada Negara Taiwan dan juga Thailand iaitu hasil penyelidikan dari sebuah Universiti Chulalongkorn. Dr.Ah Ping belajar sambil berkerja di Taiwan dan Thailand didalam bidang kedoktoran haiwan specialist babi. Peringkat pertamanya mereka meyemai lebih kurang 16 pokok sahaja dari bijibenih yang dibawa daripada Taiwan oleh Dr Ah Ping. Lokasi tapak dibelakang kilang papan jalan Desa Damai Bidor. Penanaman pertama adalah secara pencambahan benih biji sahaja sebagai induk untuk mendapatkan dahan tunas yang terbaik. Aku sebenarnya terlibat secara tidak langsung didalam menjayakan penanaman ini bersama tiga orang rakan melayu. Masa itu kegawatan ekonomi dan pembekuan pengambilan perjawatan JPA. Aku dikesempatan ini menggunakan ruang untuk mencebur diri didalam bidang pertanian tersebut. Kini pengusaha tersebut tidak mengusahakan lagi tanaman jambu batu ini. Mereka telah beralih kebidang lain dan Dr.Ah Ping khabarnya telah menetap di Luar Negara.
Setelah pokok tersebut menghasilkan buah dan dahan yang matang kami ditugaskan untuk menjalankan proses pencantuman pokok yang mana telah diajar oleh pengusaha tersebut. Biji benih ditapis didalam air secara rendaman dalam tempuh 1 minggu. Sesudah itu dijemur hingga kering. Tapak semaian pula disediakan dalam bentuk kotak berukuran 5`X10` setiap satu dan diiisi sedikit tanah sedalam 6” dan ½’ pasir. Selepas itu biji benih ditabur dan di tutup dengan pasir cecara nipis. Tempoh lebih kurang 3 bulan anak benih dipindah kan kedalam beg politin. Setelah itu, setempoh tiga bulan umur anak pokok ini barulah dijalankan proses pencantuman dahan pokok yang terpilih,subur dan baik sahaja. Tempoh seterusnya pula 3 hingga 4 bulan lamanya. Pokok tersebut di tanamkan di ladang kedua di Sungkai berhampiran tanah perkuburan cina seluas 5 ekar. Penyedian tapak utuk menanam adalah 4’x 4` dan dalam nya 2`, diisi tanah serta tahi ayam dan diperap selama 1 hingga 2 minggu. Pokok ditanam dan disiram. Pembajaan 2 bulan sekali iaitu ½ kampit tahi ayam untuk 1 pohon pokok. Setelah pokok jambu berjaya dihasilkan dan dibiak, Pengusaha akan menjual anak benih dimerata tempat. Sekitar tahun 1980an harga sepokok benih anak jambu adalah Rm24 dengan ketinggiannya 1 kaki. Ianya dijual oleh penduduk - penduduk sekitar Bidor dijalan persekutuan dengan hanya berpayung sahaja. Terdapat pengusaha tidak amanah menipu pelanggan dengan menjual anak benih yang tidak dijalankan proses cantuman. Mereka memotong pokok benih tersebut semasa kecil dan ianya kelihatan seperti cantuman. Malang nasib bagi mereka yang membelinya kerana apabila ditanam pokok ini akan lambat berbuah. Kini harga benih tidak lagi mahal boleh dibeli dengan harga RM3 hingga RM 4 sahaja. Pusat Jualan Buah - buahan dan Jambu telah banyak didirikan di kawasan Bidor sekarang, ianya bermula daripada Jalan Sungkai hinggalah ke Teluk Intan dan Tapah. Di Pekan Bidor banyak kedai dibuka berhadapan Restoran Pun Chun, manakala dilebuh raya pula di R&R Tapah hingga Ipoh. Secara tak langsungnya Jambu Batu telah membuatkan nama Bidor dikenali.
Jambu Batu tidak berbiji pula sebenarnya terhasil daripada sebatang pokok yang ganjil, dimana sememangnya berbuah tanpa biji beberapa tahun kemudian. Pokok ini dijagai sebaiknya dan di lakukan proses tut untuk mendapatkan benih baru. Diantara beribu ada satu yang ganjil dan tidak dapat kita ramalkan. Setelah ditanam, baka tersebut menghasilkan buah tidak berbiji juga dan ini ianya terjadi sekitar tahun 1983. Setelah itu proses semai benih juga berjaya,hingga kehari ini ia membiakdan terus membiak. Sekiranya rakan – rakan blog hendakkan harga jambu yang murah, saya sarankan pergi kepasar besar Bidor kerana terdapat pengusaha-pengusaha kecil menjual sendiri dikaki lima pasar, Harga jauh lebih murah dari tempat lain.Waktunya jangan melepasi jam 11 pagi kerana pengusaha atau peniaga kecil ini telah balik kerumah.
Tips seterusnya aku maklumkan cara memilih buah yang baik, pastikan ia ringan berkulit berkilat dan bersakar, ( berurat –urat seperti kulit limau manis). Hijaunya tidak pekat, kekuningan sedikit dan tidak layu. Bahagian jambulnya di patahkan untuk mendapatkan yang segar. Cara untuk dibawa berjalan jauh dan disimpan adalah dengan membasahkan kertas surat khabar lama dan balut untuk mengekalkan kelembapannya. Penyingkapan asal buah yang terkenal ini adalah rahsia sebenar Jambu Batu Bidor. Semuga kita dapat berkongsi ilmiah bersama dan bukan berniat membuka pekung didada. Kini kepakaran tersebut telah lama aku tinggalkan, “nak bercucuk tanam tanah sekangkang kera,” apa kan daya dilaman sahaja”, pokak buah-buahan aku jadikan Landskap tegar dari masa kesemasa dihalaman ku. Hijaukan bumi anda!!!