Saturday, August 29, 2009

Bidor Sebuah Pekan Tua Tempat Kelahiran Ku

Aku adalah anak kelahiran Bidor, Perak. Keinginan hati yang ingin mengetahui asal usul Bidor telah membuatkan aku mencari orang-orang lama yang telah bermastautin dan berketurunan asal Bidor dan mendapatkan cerita yang sebenar tentang asal usul Bidor.
Bidor satu ketika dulu mengikut cerita mereka adalah sebuah pekan kecil yang mempunyai sejarahnya tersendiri hingga terpahatlah namanya kehari ini sebagai Pekan Bidor. Dimulakan cerita dari mulut waris tempatan Bidor bernama Pak Cik Yahya atau nama gelarannya (Yahya Koboi) dan Pak Cik Saari dikedai kopi Kadir milik keturunan mamak berhampiran station bas Bidor. Mengikut cerita dari Pak Yahya, hasil cerita dari moyangnya ketika beliau masih kecil lagi, orang yang pertama datang ke sini adalah orang sumatera yang berdagang membuka beberapa buah kampong di persekitaran seperti Kg Gedang yang dibuka oleh Tok Gedang Tua. Mengikut ceritanya, Tok Gedang Tua mati dibunuh dan digantikan oleh Tok Bodong yang mana mengikut katanya mereka ini adalah dari keturunan rawa Sumatera. Kg Cegar pula yang dahulunya dibuka oleh Raja Menunggang yang juga berasal dari Sumatera.


Kg Tersusun Cegar Tambahan

Apabila bertambah banyak kampong yang dibuka dipersekitarannya, maka bertambah ramai lah yang datang berhijrah termaksuklah kaum Cina dan India. Ini juga adalah kerana tarikan dari hasil bijih timah yang boleh dijadikan sumber pendapatan yang agak mewah pada ketika itu. Sebagai buktinya kaum India telah lama bertapak di Bidor, sebuah Patung Buddha Bodhisattva Avalokitesvara mempunyai lapan tangan tetapi dua daripadanya telah patah telah dijumpai.. Patung yang dibuat daripada logam gangsa ini telah dijumpai di sebuah lombong bijih timah Anglo Oriental, Bidor, Perak (kawasan belakang klinik yang dikenali sebagai kampung gedang ketika itu) pada tahun 1936. Patung ini telah wujud mengikut pertarikhan pada kurun ke 7 hingga ke 12 Masihi zaman peradaban Hindu-Buddha. Berat patung ini ialah 140 paun dan tingginya 93sm. Patung tersebut sekarang telah disimpan di Muzium negara untuk tatapan umum sebagai bahan bersejarah.


Pada masa itu Sungai adalah pengangkutan utama. Disebabkan sungai yang dalam, maka banyak kapal pedagang yang boleh datang berdagang disini. Ianya mudik dari Teluk Intan atau nama dulunya Teluk Anson. Ketika itu Bidor dikenali sebagai Kuala Lipis sempena nama sebuah sungai berhampiran Masjid Jamek Mukim Bidor sekarang. Dulunya sungai Lipis ini bercantum dengan sebuah sungai yang besar menjadi pelabuhan kecil untuk memunggah barang –barang dagangan dari kapal kedarat dibantu oleh gajah-gajah sebagai pengangkutan darat. Disebabkan kemudahan ini, orang Inggeris mula menjalankan peranan mengaut hasil bumi dikawasan ini. Kemasukan orang Cina dan India dirancang dengan rapi untuk membanggunkannya.
Peringkat awalnya kaum cina menjalankan kerja-kerja mendulang dan melombong emas serta bijih timah. Orang India pula menjadi buruh ladang getah berhampiran dengan sebuah kampong yang bernama Kampung Perangkap dan sekarang dikenali dengan nama Kampong Poh. Penjajah menjadikan tempat ini pusat mengumpul hasil bijih timah, emas dan perak. Dari alat penyukat bijih timah inilah Bidor mendapat nama. ‘Bidor’ adalah nama sukatan alat pengukur bijih timah iaitu sebuah tempurung kelapa yang dijadikan alat pengukur dan disukat mengikut kiraan seperti 1 bidor, 2 bidor dan seterusnya 70 kali pengiraan bidor disukat bersamaan dengan sebuah jongkong timah yang dilebur. Keasyikan yang di disebabkan pengiraan ini mengikut cerita orang dulu terpacul lah nama ‘Bidor’ yang mudah disebut oleh semua kaum yang bekerja ketika itu. Banyak peluang perkerjaan ketika itu dan sebuah Syarikat Kapal Korek memulakan operasi dikawasan Kg.Gedang dan dalam masa yang sama penempatan orang kampong makin luas diterokai.

Tempurung yang digunakan sebagai penyukat

Penduduk berpindah kawasan ketempat-tempat lain. Penempatan penduduk mula bertaburan. Kapal Korek pertama Tahun 1926 ketika itu adalah daripada Negara Thailand, Kongsi atau tempat pengurusan syarikat Tongkah Harbour. Sekarang dikenali sebagai Taman Bunga Raya bersebelahan klinik Bidor sekarang.


Syarikat-syarikat kapal korek yang lain juga telah mula beroperasi di kawasan Jeram Mengkuang dan sekitarnya. Sebuah Syarikat kapal korek bernama Bidor Malayan Tin (BMT) telah beroperasi pada tahun 1930. Empat buah kapal korek telah ditempatkan dikawasan tersebut hinggalah ke kawasan Sungkai. Jurutera-Juruteranya terdiri daripada orang-orang Inggeris. Ketika itu keseluruhan Negeri Perak rancak dengan perlombongan bijih timah ,seperti di Larut dan Kinta. Mengikut cerita sejarah yang menjumpai bijih timah ini adalah saudara Long Jaafar di Larut. Pertemuan ini mungkin seabad dengannya. Syarikat BMT akhirnya bertukar nama ke Malaysian Mining Corporation. Sekitar tahun 80an syarikat tersebut telah pun tutup disebabkan tiada kawasan untuk kerja-kerja perlombongan serta harga bijih timah menurun dan tidak dapat menampung kos operasi kapal korek.
Hingga kehari ini kawasan Bidor dapat kita lihat dengan bekas perlombongan yang diterokai oleh kapal korek dan lombong pam disepanjang perjalanan dari Sungkai - Bidor - Ipoh dan Teluk Intan. Banyak bekas-bekas lombong yang telah ditambak dan masa kini telah dijadikan tempat Industri perusahan ringan dan juga sebagai tapak-tapak rumah kampong tersusun.
Sejarah ini telah menjadi kebanggaan kami anak-anak Bidor kerana Bidor pada satu masa dahulu telah dapat membantu penduduk dipersekitaran memperolehi pendapatan dari hasil buminya dan dalam masa yang sama dapat menjana ekonomi Negara. Bidor adalah sebuah Pekan tua” tak lekang dik hujan tak lapok ditelan zaman.”

1 comment:

  1. slama saudara...
    Bidor...adalah sebahagian dari hidup kita dan zaman kita membesar dan menjadi remaja...
    Bidor tetap dekat di hati...

    ReplyDelete