Monday, August 31, 2009

Hobi dan Minat Ku

Basikal Tua Jepun












Dari Sebuah Rangka Besi Yang Telah Usang Menjadi Sebuah Motor Classic KesayanganKu

Untuk menjadikannya sebuah motor yang berfungsi semula sememangnya memerlukan perbelanjaan yang agak tinggi. Disebabkan minat yang teramat sangat, aku membuatnya secara beransur-ansur dan aku telah membelanjakan wang sebanyak hampir mencecah RM5,000 tapi aku berpuas hati dengan penampilannya sekarang. Kalau dah minat, dengan apa jua cara sekalipun mesti kita mampu memilikinya! InsyaAllah.















Hitam Putih Seorang Yang Bergelar Photographer



Seni Fotografi menarik minat aku. sesuatu yang mulanya tidak terfikir dari hobi menjadi minat dan akhirnya terpikat dan terikat. Ia bukan lah lakaran yang dilentuk liuk di atas kertas putih menjadi lukisan. Ianya satu cabang seni kalau diamati hasil-hasilnya dapat menzahirkan dalam bentuk gambar yang berwarna dan hitam putih seperti pemandangan alam semulajadi, penceritaan dalam gambar keriangan dsb. Sekeping gambar boleh menceritakan sesuatu kejadian dan mengabadikan kenangan.

Aku merangkak, bertatih, berdiri seterusnya belari, kini aku bangga dengan kata hati ku kerana memilih bidang ini. Modalnya boleh tahan juga……aku berusaha bak kata perpatah “ berdiri diatas kaki sendiri”, belajar dan berlajar……aku juga pernah menjadi part time photographer di sebuah Syarikat Kodak Express di Bidor satu ketika dulu. Masa terluang memberikan aku ruang untuk mendapatkan duit lebih. Dikesempatan ini aku dalami ilmu fotografi. Kelebihan yang ada pada aku, aku guna sebaik mungkin. Bukan senang untuk dapat bekerja dibawah bumbung kaum lain ini. Job pertama aku adalah mengambil gambar perkahwinan orang melayu. Tidak dinafikan disebabkan Adat dan budaya lah menjadi penyebab utama mereka tidak dapat menzahirkan foto-foto yang menarik dalam sesebuah majlis perkahwinan orang melayu. Aku diberi kesempatan untuk menunjukkan kemahiranku dan dalam masa yang sama kita sebagai orang melayu sudah tentu tahu adat dan budaya kita.

Bermula dari situ, aku semakin dikenali dan ramai yang memberi perangsang serta sokongan. Ada yang memberi sedikit ruang untuk mengembangkan seni ini sehinggalah kemajlis-majlis VVIP,. Pendorong utama dari dulu hingga sekarang ada lah isteri ku yang tercinta, buat isteri ku terima kasih sayang….. kerana kau memahami minat dan seni suami mu ini. Aku tidak jemu mencari dan mencari ilmu fotofgafi ini. Kementerian Belia dan Sukan negeri Perak juga memberi ruang untuk aku mendalami ilmu fotografi selama 3 sesi. Iaitu tiga tahun berturut-turut, Hasilnya shoot aku lebih menyerlah. Aku beruntung dapat berguru dengan seorang jurugambar Profesional, yang pernah bergelar Jurugambar Terbaik Malaysia satu ketika dulu iaitu En.Adnan. Jasa mu dan tunjuk ajarmu tidak akan aku lupakan. Dikesempatan yang lain, melalui Jabatan aku juga telah terpilih mengikuti kursus di Cosmopoint. Kursus dalaman dan luaran juga aku terpilih.

Banyak sudah aku hasilkan gambar-gambar hingga berkesempatan mengambil gambar-gambar diluar Negara kerana minat ku dan isteri adalah melancung. Alhamdulillah tuhan memberi kami rezeki melihat ciptaanNYA. Disamping melancung aku bawa balik gambar dalam bentuk penceritaan untuk dikongsikan buat sesiapa sahaja yang meminatinya. Sekiranya ada kelapangan akan aku masukkan ke laman blog ini.” Apa guna keris ditangan kalau tidak pandai bermain”.

Dalam masa yang sama, aku bergabung dengan butik-butik pengantin dan memberi khidmat jurugambar kepada mereka-mereka yang memerlukannya. Bagi sesiapa yang berminat, boleh lah menghubungi aku melalui blog atau email. Banyak pakej-pakej yang menarik dengan harga yang berpatutan yang aku berikan. Akan aku paparkan gambar-gambar yang telah aku ambil buat tatapan.

Bukan sekadar kawasan Bidor aku bergerak malah majlis-majlis keraian jabatan kerajaan juga tidak terkecuali untuk mendapatkan perkhidmatan ku. Semoga darah seni fotografi yang mengalir dari bapa saudara ku yang dulunya bekas wartawan Utusan Malaysia tahun 6oan, En.Zakry b. Abdul Rahman iaitu Ayah Alang yang tercinta berkembang dan terus berkembang dalam jiwa ini. Alfatihah! Buatnya! Amin…….

Camera & Lense Yang Mampu Ku Miliki


Barang Antik Menjadi Minat Ku


C70 Royal Classic

Honda C70 Sebuah motor tua yang semakin hari semakin dilupakan. Aku sememangnya berjiwa klasik, asyik sungguh jiwa ku melihat kuda kelabu buatan Jepun ini. Hendak memiliki kelas-kelas terdahulu,mungkin aku tergulung dalam gulungan yang terlambat.

Serata tempat aku kunjungi, akhirnya terdapat sebuah rangka C70 terbiar dibelakang sebuah rumah kampong. Setelah berunding dengan pemiliknya, rangka yang berkarat itu dapat aku miliki juga. Aku beruntung kerana pemiliknya masih memiliki geran motor tersebut. Dengan bermurah hati geran tersebut diserahkan kepada aku ,seperti kata perpatah orang melayu “Orang mengantuk disorongkan bantal”. Aku menunjukkan kreativiti megilhamkan kenderaan C70 Royal Classic, satu nama yang dapat aku abadikan buat seribu kenangan.

Aku berkongsi pendapat dengan rakan kedai motor aku Mr. Ah Wan. Enjin dileraikan dan di krom satu persatu. Berbulan kami merancang dan memperbaikinya, akhirnya motor menjelma sudah. Di sini juga aku menyeru peminat-peminat motor klasik, kenanglah jasa Mr.Honda yang pernah menawan orang lama kita satu ketika dulu. Aku berbangga memilikinya…bersantai di hujung minggu bersama C70 Royal Classic milikku!


Basikal Tua Jepun

Basikal Tua Seribu Kenangan

Basikal tuan satu-satunya kenderaan masa lalu yang begitu klasik. Aku amat asyik dan terharu melihat gulungan tua yang masih memilikinya, mengayuh dengan santai mundar-mandir di keliling Pekan dan Bandar. Dibelakangnya berpelantar besar satu ketika dulu digunakan mengangkut padi, susu getah, sekerap, durian dsb. Berlocheng nyaring berlampukan minyak tanah. Aku terpukau sekiranya kenderaan ini berada dihadapan ku. Paling aku suka melihat kanak-kanak yang duduk dengan bersilang kaki kemas di pelantar yang besar itu. Berbanding zaman sekarang, kita tidak dapat lagi melihat kanak-kanak memboncheng basikal bersama bapanya. Aku dapat rasakan, kasih sayang seorang ayah kepada anaknya atau datuk dengan cucunya lebih akrab apabila mereka memboncheng basikal ini bersama-sama, jauh berbanding dengan sekarang yang masing-masing tidak lagi membawa anak-anak mereka berbasikal kerana semuanya telah memiliki kenderaan. Dalam masa yang sama, berbasikal juga satu senaman yang baik untuk kesihatan. Zaman telah berubah tapi basikal tua tetap menjadi idaman orang yang seperti aku.

Aku jadi tidak menentu untuk memiliki kenderaan ini dan ianya amat menyusuk sanubari ku ketika melihat ianya lebih dekat lagi. Aku dapat menjiwainya, perasaan ku sebak jika melihat kelusuhan basikal tua entahlah kenapa hati ku begitu terusik. Habis halaman basikal tua ku jejaki, masih ada yang sayang rupanya.. Bak kata perpatah “Sayang-sayang buah kepayang, ditelan pahit,dibuagg sayang”. Taniah kepada persatuan basikal tua seMalaysia.Aku amat menghargai matlamat persatuan tersebut, generasi kini seharusnya tidak melupai kenderaan ini. Dizaman kemerdekaan kita lihat betapa girangnya pemilik basikal tua kesana kemari bebas dalam ertikata aman dan damai. Sesungguhnya untuk memilikinya barang antik ini amat payah. Banyak tempat ku kunjungi meraih sempati untuk memilikinya. Mereka tidak mahu menjualnya kerana ada yang mahu dijadikan kenangan keluarga. Aku angkur dengan kehendak mereka. Jangan biarkan basikal tua ditelan zaman…………………

Aku sememangnya dikenali ramai dan dizaman persekolahan aku dulu terdiri daripada berbilang kaum. Salah seorang rakan sekelas aku dulu iaitu Mr.Liew yang berkerja di Jepun selalu menghubungi aku jika beliau balik ke Malaysia dan kami tidak melepaskan peluang berjumpa, lebih-lebih lagi beliau berniaga compartment kereta lusuh yang dibawah terus dari Jepun ke Malaysia. Tempat terkenalnya perniagaan beliau di Ipoh adalah di Jalan Bendahara. Dikesempatan ini aku memintanya mencarikan aku sebuah basikal tua buatan Jepun. Disebabkan aku tidak dapat memperolehi basikal tua disini, akhirnya beliau telah bersusah payah membawanya kesini untuk aku. Beliau memberi semangat dan sokongan padu buat aku untuk memilikinya dan meyambung usia basikal tua ini. Sememangnya tidak ramai yang mempunya jiwa kelasik ini. Pengajarannya yang dapat aku huraikan, “Muda tidak selamanya, tua bukan di minta”. Sayangi lah khazanah lama ini,semuga generasi kita seterusnya dapat melihat dan menghargai Basikal Tua. Di laman blog “Tempurung Emas” ini kita boleh kongsi bersama paparannya. Akhirnya basikal tua Jepun menjadi milikku!

Menjejaki Pusara Syeikh Abdul Ghani

Tanah perkuburan Islam Bidor pula ku jejaki untuk mengenal pasti dimanakah kubur Allahyarham Syeikh Abdul Ghani. Diatas kesudian seorang bilal dan pembina kubur yang aku kenal seangkatan dengan allahyaram ayah ku, kami berinterasi sesama kami. Adalah amat meyedihkan kerana Kubur Allahyarham Tok Syeikh Abdul Ghani tidak dijagai dengan baik. Kesahihannya kubur tersebut telah ditunjukan oleh cucu beliau yang sememangnya rakan kepada bilal tersebut satu ketika dulu yang telah pun meninggal dunia baru-baru ini. Mengikut cerita bilal tersebut ramai pelajar-pelajar yang membuat kajian sejarah bertanya kepadanya dimanakah pusara tokoh yang disegani ini satu ketika dulu. Beliau sering membantu dengan ikhlas.
Saya menjadi tertanya-tanya kenapakah pihak-pihak berkenaan tidak mengambil berat atau mengambil sedikit keperihatinan terhadap sejarah silam ini agar dapat dikenang oleh generasi -generasi anak Bidor akan datang, bak kata perpatah” Kelip-kelip kusangka api, kalau api mana dapurnya, Hilang ghaib kusangka mati, kalau mati mana kuburnya?" .

Kubur-Kubur Lama

Tanah perkuburan Islam Bidor adalah setua usia pekan Bidor ini dan aku dapati di setengah-setengah batu nesan disini dapat kita lihat tarikh lahir orang-orang asal sekitar tahun 1908 ,1920 serta tertera nama klasik orang dulu-dulu seperti Kuntum, Melur, Seri, Andak, Alang Demak dsb. Sememangnya bertaburan batu-batu nesan daripada batu sungai dan tidak bernama sebagaimana kubur tedahulu dan juga kubur Tok Syeikh Abdul Ghani, yang mana mengikut ceritanya ditanda dengan batu sungai juga. Masa ditelan zaman maka sedikit sedutan ditempat pesemadian ini dapat saya paparkan di blog ini. Walau apa sekali pun perumpamaan melayu dilupa jangan "Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama." Tok Syeikh Abdul Ghani jasamu tetap dikenang! Alfatihah.......Amin!

Pendidikan Sekolah Rendah dan Menengah



SRJK (Inggeris) Bidor

Aku telah mendapat pendidikan awal di SRJK (Inggeris) Bidor dan sekarang telah dikenali dengan nama Sekolah Kebangsaan Seri Bidor. Ianya telah didirikan pada 1 Febuari 1953 di Jalan Persatuan Bidor. Nama asalnya ialah Government English School Bidor. Pada mulanya sekolah ini adalah di bawah pentadbiran En. G.A. Machado M.B.E., guru besar Government English School Tapah. Bilangan murid pada awal penubuhan sekolah ini adalah seramai 73 orang. Mereka ditempatkan dalam dua buah kelas. Tenaga pengajarnya adalah seramai tiga orang termasuk seorang guru yang dilantik sebagai ketua atau ‘Teacher In-Charge.’ Guru yang pertama dilantik sebagai ‘Teacher In-Charge’ ialah En. Tan Chin Guan dan akhirnya dilantik sebagai guru besar yang pertama. Pada tahun 1957 bilangan kelas bertambah kepada tujuh buah kelas – sebuah kelas daripadanya telah ditumpangkan ke Sekolah Kebangsaan Bidor. Pada tahun 1957 juga telah didirikan sebuah bangunan yang mengandungi enam buah bilik. Sekolah ini kemudiannya telah diberi nama Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Inggeris) Bidor. Lembaga pengurusan sekolah bagi SRJK (Inggeris) Bidor telah ditubuhkan pada 1959. Pengerusi Ahli Lembaga Sekolah yang pertama ialah En.Chew Thian Siew AMN, PJK, JP seorang tokoh tempatan di Bidor.
Pada tahun 1963 bilangan kelas telah bertambah daripada tujuh buah kepada 13 buah kelas, manakala sebuah kelas daripadanya telah ditumpangkan pula di SRJK (C) Choong Hua 1, Bidor. Ekoran daripada itu, pada tahun 1964 telah dibina tiga lagi bangunan baru bilik darjah.
Pembukaan rasmi sekolah ini telah dilakukan oleh Yang Berhormat En. Mohd Khir Johari, Menteri Pelajaran Malaysia pada 1 April 1965. Untuk kemudahan ibu bapa dari kawasan Sungkai, sebuah bilik darjah untuk Tahun Satu telah ditumpangkan di SRJK (T) Sungkai sebagai cawangan sekolah ini.
Pada tahun 1968, sebuah bangunan dua tingkat yang mengandungi lima buah bilik darjah lagi dibina. Pada tahun 1976 sebuah bangunan untuk kantin sekolah telah dibina. Sekolah ini kemudiannya diberi nama Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Bidor. Dan seterusnya SK Seri Bidor pada tahun 1994. Sejarah sekolah ini telah ku ambil dari laman blog bidor news.





Sekolah Menengah Syeikh Abdul Ghani

Seterusnya aku meneruskan pengajian ku ke smsag pada tahun 1976. Adalah satu perkara menarik dan perlu disentuh mengapa Lembaga Pentadbiran Sekolah ini memilih nama Syeikh Abdul Ghani. Tokoh ini adalah seorang yang penting dalam sejarah tempatan. Mengikut sejarah, semasa pemerintahan Sultan Salehuddin, Sultan Perak ke-9 Bidor dibuka keran hasil timahnya. Orang yang pertama dilantik menjadi penghulu Bidor ialah Syeikh Abdul Ghani. Sebagai mengenang jasanya terhadap masyarakat tempatan, nama beliau diabadikan untuk nama sekolah ini.

Saturday, August 29, 2009

Bidor Sebuah Pekan Tua Tempat Kelahiran Ku

Aku adalah anak kelahiran Bidor, Perak. Keinginan hati yang ingin mengetahui asal usul Bidor telah membuatkan aku mencari orang-orang lama yang telah bermastautin dan berketurunan asal Bidor dan mendapatkan cerita yang sebenar tentang asal usul Bidor.
Bidor satu ketika dulu mengikut cerita mereka adalah sebuah pekan kecil yang mempunyai sejarahnya tersendiri hingga terpahatlah namanya kehari ini sebagai Pekan Bidor. Dimulakan cerita dari mulut waris tempatan Bidor bernama Pak Cik Yahya atau nama gelarannya (Yahya Koboi) dan Pak Cik Saari dikedai kopi Kadir milik keturunan mamak berhampiran station bas Bidor. Mengikut cerita dari Pak Yahya, hasil cerita dari moyangnya ketika beliau masih kecil lagi, orang yang pertama datang ke sini adalah orang sumatera yang berdagang membuka beberapa buah kampong di persekitaran seperti Kg Gedang yang dibuka oleh Tok Gedang Tua. Mengikut ceritanya, Tok Gedang Tua mati dibunuh dan digantikan oleh Tok Bodong yang mana mengikut katanya mereka ini adalah dari keturunan rawa Sumatera. Kg Cegar pula yang dahulunya dibuka oleh Raja Menunggang yang juga berasal dari Sumatera.


Kg Tersusun Cegar Tambahan

Apabila bertambah banyak kampong yang dibuka dipersekitarannya, maka bertambah ramai lah yang datang berhijrah termaksuklah kaum Cina dan India. Ini juga adalah kerana tarikan dari hasil bijih timah yang boleh dijadikan sumber pendapatan yang agak mewah pada ketika itu. Sebagai buktinya kaum India telah lama bertapak di Bidor, sebuah Patung Buddha Bodhisattva Avalokitesvara mempunyai lapan tangan tetapi dua daripadanya telah patah telah dijumpai.. Patung yang dibuat daripada logam gangsa ini telah dijumpai di sebuah lombong bijih timah Anglo Oriental, Bidor, Perak (kawasan belakang klinik yang dikenali sebagai kampung gedang ketika itu) pada tahun 1936. Patung ini telah wujud mengikut pertarikhan pada kurun ke 7 hingga ke 12 Masihi zaman peradaban Hindu-Buddha. Berat patung ini ialah 140 paun dan tingginya 93sm. Patung tersebut sekarang telah disimpan di Muzium negara untuk tatapan umum sebagai bahan bersejarah.


Pada masa itu Sungai adalah pengangkutan utama. Disebabkan sungai yang dalam, maka banyak kapal pedagang yang boleh datang berdagang disini. Ianya mudik dari Teluk Intan atau nama dulunya Teluk Anson. Ketika itu Bidor dikenali sebagai Kuala Lipis sempena nama sebuah sungai berhampiran Masjid Jamek Mukim Bidor sekarang. Dulunya sungai Lipis ini bercantum dengan sebuah sungai yang besar menjadi pelabuhan kecil untuk memunggah barang –barang dagangan dari kapal kedarat dibantu oleh gajah-gajah sebagai pengangkutan darat. Disebabkan kemudahan ini, orang Inggeris mula menjalankan peranan mengaut hasil bumi dikawasan ini. Kemasukan orang Cina dan India dirancang dengan rapi untuk membanggunkannya.
Peringkat awalnya kaum cina menjalankan kerja-kerja mendulang dan melombong emas serta bijih timah. Orang India pula menjadi buruh ladang getah berhampiran dengan sebuah kampong yang bernama Kampung Perangkap dan sekarang dikenali dengan nama Kampong Poh. Penjajah menjadikan tempat ini pusat mengumpul hasil bijih timah, emas dan perak. Dari alat penyukat bijih timah inilah Bidor mendapat nama. ‘Bidor’ adalah nama sukatan alat pengukur bijih timah iaitu sebuah tempurung kelapa yang dijadikan alat pengukur dan disukat mengikut kiraan seperti 1 bidor, 2 bidor dan seterusnya 70 kali pengiraan bidor disukat bersamaan dengan sebuah jongkong timah yang dilebur. Keasyikan yang di disebabkan pengiraan ini mengikut cerita orang dulu terpacul lah nama ‘Bidor’ yang mudah disebut oleh semua kaum yang bekerja ketika itu. Banyak peluang perkerjaan ketika itu dan sebuah Syarikat Kapal Korek memulakan operasi dikawasan Kg.Gedang dan dalam masa yang sama penempatan orang kampong makin luas diterokai.

Tempurung yang digunakan sebagai penyukat

Penduduk berpindah kawasan ketempat-tempat lain. Penempatan penduduk mula bertaburan. Kapal Korek pertama Tahun 1926 ketika itu adalah daripada Negara Thailand, Kongsi atau tempat pengurusan syarikat Tongkah Harbour. Sekarang dikenali sebagai Taman Bunga Raya bersebelahan klinik Bidor sekarang.


Syarikat-syarikat kapal korek yang lain juga telah mula beroperasi di kawasan Jeram Mengkuang dan sekitarnya. Sebuah Syarikat kapal korek bernama Bidor Malayan Tin (BMT) telah beroperasi pada tahun 1930. Empat buah kapal korek telah ditempatkan dikawasan tersebut hinggalah ke kawasan Sungkai. Jurutera-Juruteranya terdiri daripada orang-orang Inggeris. Ketika itu keseluruhan Negeri Perak rancak dengan perlombongan bijih timah ,seperti di Larut dan Kinta. Mengikut cerita sejarah yang menjumpai bijih timah ini adalah saudara Long Jaafar di Larut. Pertemuan ini mungkin seabad dengannya. Syarikat BMT akhirnya bertukar nama ke Malaysian Mining Corporation. Sekitar tahun 80an syarikat tersebut telah pun tutup disebabkan tiada kawasan untuk kerja-kerja perlombongan serta harga bijih timah menurun dan tidak dapat menampung kos operasi kapal korek.
Hingga kehari ini kawasan Bidor dapat kita lihat dengan bekas perlombongan yang diterokai oleh kapal korek dan lombong pam disepanjang perjalanan dari Sungkai - Bidor - Ipoh dan Teluk Intan. Banyak bekas-bekas lombong yang telah ditambak dan masa kini telah dijadikan tempat Industri perusahan ringan dan juga sebagai tapak-tapak rumah kampong tersusun.
Sejarah ini telah menjadi kebanggaan kami anak-anak Bidor kerana Bidor pada satu masa dahulu telah dapat membantu penduduk dipersekitaran memperolehi pendapatan dari hasil buminya dan dalam masa yang sama dapat menjana ekonomi Negara. Bidor adalah sebuah Pekan tua” tak lekang dik hujan tak lapok ditelan zaman.”